COVID-19 Pada Ramadhan 1441H : Bagaimana Nasib Bazar Ramadhan Di Johor?

Sepanjang penularan wabak Covid-19, semua rakyat diperintahkan untuk duduk di rumah diam-diam melainkan untuk membeli barang keperluan yang terpaksa keluar. Bukan saja individu dan seisi rumah, malah premis-premis makanan turut diarahkan tutup.

Walau bagaimanapun, Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal sampai ke penghujungnya. Persoalannya betul ke 14 April adalah tarikh terakhir untuk kita semua PKP? Atau akan dilanjutkan sebulan lagi? 3 bulan? Atau 6 bulan?

Bukan itu saja yang rakyat fikir. Paling merisaukan kita semua nasib kita untuk menyambut Ramadhan kali ini.

Ramadhan bakal menemui kita 2 minggu lagi. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga apabila ada sesetengah kerajaan negeri seperti Terengganu dan Negeri Sembilan sudah pun mengumumkan tiada penganjuran Bazar Ramadhan tahun ini untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 secara meluas lagi. Bukan setakat bazar jek tiada dilaksanakan, solat berjemaah tarawikh kat masjid dan surau mungkin tiada.

Malah, hari ini, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah menegaskan susulan penularan wabak COVID-19 ketika ini, tidak sesuai untuk mengadakan Bazar Ramadhan di setiap kawasan Johor.

Baginda Tuanku Sultan bertitah ini adalah disebabkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar, sekali gus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

“Kes positif COVID-19 masih dilaporkan berlaku, maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan Bazar Ramadhan bukan saja di sini, malah di tempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat.

“Lupakan Bazar Ramadhan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini.” titah Baginda.

DYMM Sultan Johor bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru harini (2 April).

Meskipun Baginda Sultan Johor belum lagi memutuskan tentang status penganjuran Bazar Ramadhan di negeri jajahannya tetapi, diharapkan semua rakyat, peniaga-peniaga bazar, khususnya bersiap sedia jika keputusan untuk tiada bazar ramadhan adalah muktamad.

Semoga kita sama-sama dapat membendung virus penularan COVID-19 agar tempoh perintah kawalan pergerakan tidak lagi dilanjutkan.

Sumber : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *