Kebanggaan Negara! Dr Noor Hisham Antara 3 Doktor Terbaik Dunia Merawat Kes Covid-19

Komitmen Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengetuai Kementerian Kesihatan (KKM) memerangi wabak koronavirus (Covid-19) bukan sahaja mendapat pujian rakyat Malaysia, bahkan turut diiktiraf dunia.

Terbaharu, Dr Noor Hisham termasuk dalam ranking tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani wabak itu.

Stesen televisyen China, Global TV Network menganugerahkan pengiktirafan itu kepada Dr Noor Hisham yang turut menyaksikan pakar kesihatan masing-masing dari Amerika Syarikat dan New Zealand iaitu Dr Anthony Fauci dan Dr Ashley Bloomfield turut tersenarai.

Dr Noor Hisham, 56, yang memegang jawatan Ketua Pengarah sejak 2013 dan berasal dari Kuala Lumpur, sememangnya mendapat kepercayaan penuh rakyat Malaysia susulan kekerapan beliau mengemas kini data situasi semasa keadaan Covid-19 menerusi media sosial dan sidang media.

Beliau juga difahamkan sentiasa bekerja lebih masa mengetuai pasukan perubatan negara dalam memastikan rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan segera.

Bahkan, Dr Noor Hisham merupakan seorang pemimpin tegas yang tidak takut melontarkan kebimbangan terhadap sebarang keputusan kerajaan yang dilihat mampu memberi impak negatif terhadap usaha menangani Covid-19.

Dr Fauci dan Dr Bloomfield juga disifatkan sebagai individu berpengaruh di negara masing-masing apabila secara konsisten mengemas kini maklumat terbaharu, selain sering dilihat bertugas dalam tempoh masa yang lama.

Selain itu, keupayaan menjadi sumber maklumat paling telus serta meredakan keadaan panik orang ramai terhadap penularan Covid-19 di negara masing-masing menyebabkan ketiga-tiga tokoh perubatan itu menerima pujian menggunung sejak beberapa minggu ini.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *