Nasib 237 Gelandangan Johor Terjaga Sepanjang Musim Covid-19

Sepanjang musim Covid-19 ini, nasib 237 orang gelandangan diberi perhatian dengan kuarantinkan mereka di Kem Wawasan Negara, Gunung Pulai, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan di Kulai, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail, berkata langkah itu bagi mengelakkan golongan berkenaan berkeliaran di kawasan awam dan berisiko dijangkiti COVID-19.

“Semalam saringan kesihatan ke atas 237 gelandangan itu dilakukan, semua disahkan bebas jangkitan COVID-19. Mereka tidak akan dibenarkan keluar dan akan dikuarantin di kem ini sepanjang musim wabak COVID-19.

“Jika ingin keluar nanti, keluarga masing-masing perlu datang dan mengambil mereka. Kita juga akan siasat dan beri bantuan sewajarnya termasuk membantu mereka yang ingin mencari kerja dan pulang ke pangkuan keluarga selepas wabak pulih supaya tidak lagi bergelandangan selepas ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di kem berkenaan bersama Pegawai Daerah Kulai, Mohd Radzi Mohd Amin.

Zaiton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, berkata hasil tinjauannya dan perbualan bersama beberapa gelandangan di situ, mendapati mereka berpuas hati dengan kemudahan yang diselia Pejabat Daerah Kulai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor itu.

“Terdapat seorang ibu yang hamil empat bulan bersama suaminya dan ada juga golongan berusia pertengahan yang bekerja di Singapura, namun menjadi gelandangan selepas tidak dibenarkan memasuki republik itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Beberapa gelandangan yang mempunyai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan batuk sudah dibawa ke hospital bagi pemeriksaan lanjut. Saya turut berpuas hati dengan kemudahan disediakan termasuk khemah bertutup menempatkan lelaki selain bilik asrama yang selesa,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditempatkan di situ juga diberi makan empat kali sehari yang disediakan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Johor dengan stok serta bekalan makanan disediakan oleh kerajaan negeri.

Sumber : berita harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *