‘Projek Hantor Makanan’ Bersama 30 Rider Food Panda, Shahrol Shiro Berjaya Bantu Ramai Orang Susah di Kluang

Belum reda lagi kontroversi ‘perang netizen dan artis’, sekali lagi Anak jati Kampung Haji Manan, Kluang, Shahrol Shiro tidak berlengah untuk menyumbangkan tenaga dan bekalan keperluan makanan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dalam Projek Hantor Makanan semalam (5 April).

Kelainannya dalam Projek Hantor Makanan ni , Shahrol Shiro tidak bersendirian bersama teman-teman, malah lebih kurang 30 rider Food Panda Kluang turut bekerjasama untuk membantu mengagihkan bekalan keperluan kepada setiap penghuni kawasan perumahan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sepanjang Covid-19.

Projek yang bermula jam 11 pagi diacarakan dengan penuh gemilang di hadapan Pejabat Bushido Production milik Shahrol sendiri. Malah dirasmikan oleh YB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor. YB turut meluangkan masa turun padang untuk meninjau pasukan tenaga kerja membungkuskan bekalan makanan dan mengasingkan mengikut zon.

Turut serta dalam perasmian Projek Hantor Makanan semalam adalah Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismai; Ketua Polis Daerah Kluang, Pemuda UMNO Bahagian Kluang, dan Pemuda UMNO Kluang.

Pada mulanya, Shahrol sekadar mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada barisan hadapan dan beberapa buah keluarga asnaf di kawasan Kluang, tetapi selepas ramai pihak yang menghubungi, bantuan itu diperluaskan dengan melaksanakan projek ini.

Dalam bait-bait kata Shahrol di laman sosial Instagram miliknya sendiri, “Dalam hidup ni, jika kamu tidak mahu membantu sesama kamu, maka kamu bukan benar-benar hidup, kamu hanya bernafas.”

Semoga setiap yang diberikan, akan sampai ke tangan yang berhak.

Terima kasih kepada Shahrol Shiro, rakan-rakan seperjuangan dan Food Panda Kluang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *